Wednesday, 8 October 2014

REMAJA BERINTEGRITI


Siapa kata nilai integriti hanya perlu diterapkan kepada kumpulan yang berkerjaya sahaja? Adakah remaja sebagai individu, pelajar dan penganggur tidak perlu mempunyai kesedaran tentang integriti?
Persoalan ini perlu dirungkaikan oleh semua pihak, terutamanya golongan remaja sendiri, tentang makna sebenar integriti pada diri mereka sebagai individu. Remaja hari ini perlu melihat integriti terhadap diri sendiri dan kemudiannya integriti terhadap tugasan mereka. Remaja hari ini sama ada pelajar pada peringkat sekolah, matrikulasi, pendidikan asas di institusi pengajian tinggi (IPT) ataupun mahasiswa, termasuk juga pekerja muda yang berjawatan makan gaji atau bekerja sendiri, perlu menerapkan nilai integriti dalam setiap gerak kerja mereka. Tiada yang terlepas untuk melakukan perkara yang betul dalam aktivti harian masing-masing. Tiada yang terkecuali rutin masing-masing tanpa memberikan perhatian terhadap aspek integriti.
Meletakkan sesuatu perkara pada tempat yang betul berdasarkan peraturan yang ditetapkan ialah makna umum tentang integriti. Berpandukan Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri yang kelima pada bulan April 2004, nilai integriti merujuk amalan, cara hidup serta personaliti yang berteraskan ciri moral dan etika yang diasuh oleh kepercayaan masing-masing. Definisi ini diaspirasikan daripada cabaran keempat dalam Wawasan 2020 yang berhasrat untuk menjadikan rakyat Malaysia yang maju secara seimbang mengikut acuan sendiri. Acuan sendiri bermakna rakyat Malaysia yang hebat dari aspek material dan teknologi; dalam masa yang sama juga, hebat dari aspek kemanusiaan dan personalitinya.
Pembentukan personaliti hebat berdasarkan nilai moral merupakan cabaran besar bagi remaja hari ini. Sebagai kumpulan yang akan datang, remaja hari ini perlu bersedia untuk memantapkan diri masing-masing dengan nilai hidup yang hebat berasaskan integriti. Dalam suasan hari ini, seseorang remaja di Malaysia perlu dipandukan oleh semua pihak yang lebih dominan dalam kehidupan mereka agar sentiasa intim dan mesra dengan nilai integriti.
Penerapan integriti pada tahap individu perlu melinbatkan semua peringkat usia. Nilai integriti seharusnya menjadi cara hidup bagi setiap ahli masayarakat di Malaysia, khususnya, dan seluruh dunia, umumnya. Penerapan nilai ini pada usia yang masih muda seperti pada peringkat sekolah rendah lagi akan menghasilkan kumpulan masyarakat yang terasuh dengan nilai yang baik bermula daripada peringkat usia yang muda. Namun begitu, cabaran yang besar serta kritikal ialah penerapan integriti kepada kumpulan remaja. Peringkat remaja yang mendominasi pelbagai keinginan baharu serta mudah terpengaruh dengan pelbagai keadaan di persekitaran mereka menjadikan usaha penerapan integriti lebuh mencabar.
Cabaran utama bagi pihak berwajib seperti ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan kerajaan ialah mendidik remaja tentang kepentingan mengaplikasikan integriti dalam setiap aktiviti remaja agar integriti menjadi amalan rutin dalam kehidupan. Remaja ialah kumpulan peringkat usia yang aktif dan berada pada tahap transisi daripada alam persekolahan kepada kejaya, daripada pelajar kepada ahli masyarakat sepenuh masa. Perubahan ini mendedahkan remaja kepada nilai ingin mencuba yang membuak-buak ditambah pula keadaan persekitaran mereka yang berkecamuk dengan pelbagai isu yang menggugat nilai integriti individu.
Isu sosial yang melibatkan pemimpin masyarakat, ahli politik popular serta individu yang menjadi idola sebahagian besar remaja telah menjejaskan kepercayaan remaja terhadap integriti. Remaja melihat integriti hanya sebagai slogan yang terpampang pada dinding bangunan sebagai nilai penting yang wajib disuburkan dalam jiwa masing-masing. Peranan media massa yang mendedahkan pelbagai kepincangan yang berkaitan dengan integriti, seperti isu rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan serta penyalahgunaan kuasa oleh pekerja sektor awam dan swasta, telah mempengaruhi persepsi remaja tentang integriti yang sebenar.
Cabaran besar bagi remaja ialah menjadikan integriti sebagai cara hidup yang subur mekar di hati sehingga terluah dalam bentuk perlakuan yang indah dan sopan. Remaja telah terdedah kepada proses penerapan integriti pada peringkat sekolah melalui sistem pendidikan Negara, namun keliru apabila melangkah ke alam masyarakat sebenar yang mengesampingkan nilai integriti daripada cara hidup mereka. Kekeliruan ini perlu di atasi secepat mungkin oleh semua pihak, terutamanya ahli masyarakat. Kumpulan dewasa dalam masyarakat seperti ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat perlu sepakat membantu remaja dengan menjadi contoh yang baik bagi mereka.
Remja kini sebenarnya menghadapi masalah untuk mencari suri teladan yang baik sebagai sumber inspirasi mereka. Ketandusan idola dalam masyarakat kini semakin membimbangkan kerana kesannya terlalu besar kepada pembentukan nilai diri remaja. Kesan daripada cabaran ini menyebabkan remaja memilih kumpulan yang berakhlak rendah, seperti artis luar negara, yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial sebagai idola mereka. Kesan jangka panjangnya menyebabkan remaja tidak dapat lagi membezakan integriti daripada tidak berintegriti.
Memahami makna integriti yang sebenarnya penting bagi semua peringkat usia, terutamanya remaja. Masyarakat pada semua peringkat sama ada pelajar sekolah, remaja, dewasa yang berkerjaya ataupun kumpulan pesara, wajib mengembleng tenaga dan upaya masing-masing agar integriti menjadi cara hidup yang terlekat kukuh dalam sanubari rakyat Malaysia. Impian Malaysia untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020 akan terganggu jika aspek integriti ini tidak ditangani dengan sebaik baiknya.
Cabaran keempat Wawasan 2020 ialah membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri moral dan etikanya, dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Cabarn ini diaspirasikan daripada Rukun Negara kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan. Aspek ini dilihat amat indah dan sempurna jika dapat dihayati dengan sebaik-baiknya oleh semua rakyat Malaysia. Nilai integriti yang dibincangkan ini seharusnya dapat diterapkan selancarnya dalam sanubari seluruh rakyat jika kita mampu memhayati nilai ini dengan sempurnanya. Namun begitu, prosesnya agak sukar kerana keadaan persekitaran yang mencabar sentiasa menekan dan menghakis nilai baik dalam masyarakat.
Masyarakat kini mempunyai persepsi yang sama antara amalan berintegriti atau tidak. Penyalahgunaan kuasa yang berlaku dilihat sebagai perkara biasa yang dilakukan oleh semua orang. Persepsi ini amat membimbangkan jika tidak akan diatasi segera kerana kesannya menjadikan masyarakat hilang nilai, moral, dan etika yang merupakan tunjang penting dalam nilai integriti. Hal ini merupakan cabaran yang perlu ditangani oleh remaja. Sebagai kumpulan yang aktif, berinovasi dan kreatif, remaja perlu bijak memberikan makna integriti daripada peringkat individu sehingga masyarakat keseluruhannya.
Nilai integriti ialah aspek penting yang lahir dari dalam diri setiap orang. Nilai ini berkaitan dengan hati manusia secara individu. Oleh itu, integriti tidak akan Berjaya diterapkan dalam masyarakat jika kita tidak membentuk hati dan pemikiran masyarakat secara individu, iaitu melalui nilai keagamaan yang dipercayai oleh semua orang. Setiap rakyat Malaysia yang beragama telah diasuh dengan sebaik-baiknya oleh nilai ajaran keagamaan yang dipercayai oleh semua orang. Setiap rakyat Malaysia yang beragama telah diajar sebaik baiknya oleh nilai ajran keagamaan masing-masing tentang nilai yang baik, hati yang bersih, jiwa yang bercahaya serta personaliti yang berbudi bahasa,
Penerapan nilai integriti menjadi sebahagian daripada nilai keagamaan. Oleh itu, semua rakyat Malaysia terutamanya remaja, wajib mesra dan intim dengan ajaran agama masing-masing kerana hanya dengan cara ini, cabaran melaksanakan nilai integriti mampu tercapai.

No comments:

Post a Comment